BUENOS AIRES: Daripada 6,000 kilogram ganja atau marijuana atau nama lainnya kanabis yang “ditahan” di balai polis di Pilar, Buenos Aires, Argentina, sebanyak 540 kilogram lagi didapati “hilang” dan belum direkodkan dalam borang pemindahan.
Ketika bekas inspektor polis Javier Specia di Pilar disoal siasat berkaitan kehilangan 540 kilogram ganja dari stor simpanan, jawapannya mudah sahaja; bahawa ganja tersebut sudah dimakan oleh tikus yang ketagih.
Semuanya bermula pada April 2017 apabila Pesuruhjaya Emilio Portero menggantikan rakannya Specia menjadi Ketua Jabatan Polis di Pilar.
Semasa proses ambil alih itu, Portero mencurigai Specia kerana tiada rekod pemindahan 540 kilogram ganja tersebut ditandatangani oleh beliau.
Justeru, pihak siasatan dalaman menghantar Gendarmerie Nasional melakukan siasatan rasmi.
Ketika Hakim Adrián González Charvay memanggil Specia dan tiga pegawai bawahannya menjadi saksi bagi kes kehilangan ganja hilang itu, kesemua mereka konsisten memberi alibi yang sama; bahawa ganja tersebut dimakan tikus.
Siasatan dalaman bagaimanapun mendakwa pemeriksaan tidak menemui bukti menunjukkan tikus bertanggungjawab atas kehilangan jumlah ganja yang besar itu.
Oddit Central melaporkan pada Sabtu, pegawai penyiasat memberitahu tidak mungkin tikus dapat memakan ganja dalam jumlah yang besar.
Sekalipun tikus memakannya, mereka akan mati di situ juga.
Ganja tersebut turut dilaporkan berada keadaan kering dan tiada kesan terdapat bangkai tikus di stor simpanan berkenaan.
Selepas bukti berkaitan serangan tikus berkenaan tidak diperoleh, hakim terpaksa meneruskan kes kehilangan ganja itu.
Setakat ini, tiada tindakan disiplin dikenakan terhadap Specia dan rakannya, tetapi mereka akan dihadapkan ke mahkamah pusat bulan depan. –Sarawakvoice